There was an error in this gadget

Sunday, October 16, 2016

46. HARTA BOLEH HILANG

Alimin, seorang pegawai kanan kerajaan bertugas di Putrajaya merupakan pegawai yang baru berpindah dari Kota Bharu, Kelantan kerana dinaikkan pangkat. Dia terpaksa tinggal berjauhan dengan isterinya Rohayu yang tidak dapat turut sama berpindah kerana ketua Jabatannya tidak mahu melepaskannya. Selama lima tahun dia berulang alik sehinggalah ia bersara pada tahun hujung tahun 2009.

Dalam tempoh lima tahun Alimin banyak melakukan perkara yang tidak betul terutamanya yang berkaitan dengan tuntutan perjalanan. Memang dari segi peraturan dia tidak salah kerana segala butiran tuntutan adalah betul tetapi dari segi niatnya adalah salah. Alimin sering mengeluarkan surat sama ada melalui dirinya sendiri atau orang lain supaya beliau dapat bertugas di sebelah Pantai Timur terutama Kelantan pada hujung Minggu. Ini kerana untuk membolehkan dia bersama keluarganya. Setiap kali dia pulang ke kampungnya dia akan membuat tuntutan. Walaupun ramai orang bawahannya sedar tentang sikapnya itu tetapi tidak berani untuk memberi teguran memandangkan Aliman seorang yang kuat berdendam. Selama lima tahun ia mengambil wang pembayar cukai atau rakyat tanpa merasakan perbuatannya itu adalah salah dari segi moral dan hukum agama.

Pada bulan Oktober 2010, ketika Alimin dan isterinya sedang nyenyak tidur di sebuah banglo yang terletak di pinggir Kota Bharu tiba-tiba dikejutkan dengan bau asap yang memasuki kamar tidurnya. Beliau terus meluru ke pintu dan membukanya dan alangkah terkejutnya didapati api sedang marak di bilik sebelah yang pada masa itu tidak ada penghuni. Alimin terus memegang tangan Rohayu dan turun ke tingkat bawah dan keluar dari rumahnya. Nasib baik anak-anaknya tidak berada di rumahnya kerana masing-masing sudah berumahtangga. Ketika di luar rumah ia menjerit meminta tolong dan kelihatan beberapa penduduk berada di situ dan ada di antara mereka menggunakan telefon bimbit memanggil bomba. Penduduk kampung tidak dapat berbuat apa-apa kerana api begitu kuat membakari rumah Alimin. Sebaik sahaja bomba tiba dan berjaya memadamkan api namun rumahnya sudah 95% telah hangus dan tidak ada lagi yang dapat diselamatkan termasuk dua buah keretanya iaitu Honda Accord dan BMW.

Setelah bomba pulang Alimin dibawa ke rumah jiran semntara menunggu ketibaan anaknya dari Ipoh. Semasa di rumah jiran tiba-tiba Alimin bersuara kepada jiranya Omar, "Mungkin ini pembalasan daripada Allah kerana semasa saya bertugas terlalu banyak saya mengambil duit kerajaan melalui pelbagai cara. Jadi duit tu tak berkat dan akhirnya harta dan wang yang ada dalam rumah itu hangus. Walau bagaimanapun saya tetap reda dan bersyukur kerana saya dan isteri masih dipanjangkan umur. Bolehlah saya bertaubat banyak-banyak sebelum saya mati." Jiran-jiran terus meminta Alimin dan isterinya supaya bertenang dan bersabar.



No comments:

Post a Comment