There was an error in this gadget

Saturday, October 15, 2016

44. HATI-HATI BILA BERUCAP

Bila bercakap berkenaan komunikasi bererti akan wujud dua pihak yang terlibat iaitu orang yang bercakap (pengucap) dan orang yang mendengar (pendengar). Di pihak mana anda berada adalah bergantung kepada situasi. Mungkin sebagai pengucap atau pendengar ataupun kedua-keduanya sebagai pengucap dan juga pendengar. Apa-apa pun tidak kisah kerana yang penting ialah kedua-dua konsep tersebut hendaklah difahami dengan jelas. Kedua-dua mempunyai matlamat dan persepsi yang berbeza. Bagi pengucap, semasa mereka sedang menyampaikan sesuatu mereka mahu pendengar memberi tumpuan sepenuh perhatian dan dapat menerima perkara yang diperkatakan. Manakala di pihak pendengar pula, mereka mahu pengucap berkata sesuatu perkara yang benar dan jujur.

Kesilapan yang sering dilakukan oleh pengucap ialah:

a) Menganggap pendengar itu percayai akan semua kata-katanya.

b) Bertujuan untuk menunjukkan ia merupakan seorang yang baik, bijak atau berkebolehan.

c) Memaksa pendengar secara tidak langsung supaya menerima kata-katanya dengan menyebut perkataan tertentu seperti betul tak, betul tak saya cakap, kan, ya kan, faham tak, boleh faham tak dan lain-lain.

d) Seolah-olah apa yang dia cakap itu semuanya betul dan jika sepatah pendengar komen maka 10 patah akan dibalas. Biasanya orang yang bersikap sedemikian adalah terdiri daripada ketua atau boss.

e) Menganggap pendengar itu berkebolehan atau berpengetahuan lebih tinggi daripadanya menyebabkan ia teragak-agak untuk berkata.

Oleh itu anda perlu menghindarkan kesilapan di atas agar anda dapat berkomunikasi dalam suasana yang lebih harmoni dan tenang.

No comments:

Post a Comment