There was an error in this gadget

Saturday, October 15, 2016

43. KAHWIN LEBIH

Kalau ditanya pada lelaki yang belum kahwin, adakah kahwin dua atau lebih itu bagus. Rata-rata akan menjawab bahawa satu sudah memadai. Akan tetapi beberapa tahun selepas berumahtangga, lain pula jawapannya. Misalnya mereka akan berkata, "Apa salahnya kalau kahwin lebih, yang penting mampu." Tak kisahlah apa jua pendirian anda tetapi yang penting sebelum anda ingin berkahwin biarlah fikir masak-masak. Jangan bila sudah kahwin baru menyesal dan mulalah nak menasihatkan orang lain supaya jangan kahwin dua takut jadi susah macam dirinya. Anda boleh mengambil iktibar melalui beberapa pandangan yang disuarakan oleh kawan-kawan saya.

Seorang kawan saya bernama Ramli memberitahu saya bahawa beliau tak nak kahwin dua, "Aku tak nak kahwin dua bukan kerana masalah aku takut bini tapi masalahnya bini tak takut aku". Zambri pula mencelah, "Aku tak nak kahwin lebih bukannya apa, bini aku selalu perli aku, katanya di akhirat besok ada segolonngan manusia berjalan senget atau terhincuk-hincuk dan mereka adalah orang-orang kahwin lebih tetapi tidak mampu bersikap adil kepada isteri-isteri mereka. Jadi aku tak nak jalan senget maka satu cukuplah." Mat Dom pula lain ceritanya, "Aku dah ada tiga isteri, nasihat aku jangan engkau kahwin dua, nanti cukup susah. Tapi kalau engkau nak juga, kahwin tiga takpe. Hahaha."

Soal nikah kahwin jangan dipandang mudah dan ringan. Ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar untuk dipikul oleh seorang lelaki terhadap isterinya. Dalam memilih jodoh mestilah berhati-hati. Jangan kerana nafsu semata-mata. Untuk melawan atau meredakan nafsu ada macam-macam cara seperti berpuasa, bersukan dan membaca buku yang tidak menjurus kepada perkara yang membangkitkan nafsu.

Dalam satu jamuan makan malam seorang teman bernama Mat Zin bertanya, "Kenapa ramai lelaki cakap pasal nak kahwin lebih dan kebanyakannya wanita yang muda dan cantik menjadi pilihan mereka." Kawan-kawan yang mendengar tak menjawab kerana mereka percaya Mat Zin sudah mempunyai jawapan, elok beri peluang kepadanya sahaja. "Sebab mereka nak lepaskan nafsu je, kalau dia betul-betul nak, kenapa tak pilih yang beragama walaupun janda atau sudah berumur?" Mat Zin menjawab sambil tersenyum. Rasulullah bersabda, "Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat".

Selain soal memilih isteri yang beragama tidak kira untuk yang pertama atau kedua terdapat satu lagi faktor yang sangat penting perlu diambilkira iaitu kemampuan untuk berlaku adil terhadap isteri-isteri. Bunyinya mudah tetapi nak memasti dan bersifat adil adalah tugas yang sangat berat untuk dipikul oleh insan atau manusia yang serba kekurangan dan tidak sempurna. Firman Allah swt yang bermaksud, “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilamana kamu menikahinya), maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga, atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya." (QS. An-Nisaa’ : 3).

Sewajarnya difikirkan semasak-masak dan sedalam-dalamnya sebelum anda membuat keputusan untuk kahwin lebih terutamanya dari aspek keagamaan dan keadilan agar rumahtangga yang anda bina selama ini kekal bahagia hingga ke anak cucu. Kalau anda fikir anda boleh berlaku adil, tepuklah dada dan tanyalah selera anda!

No comments:

Post a Comment