There was an error in this gadget

Thursday, October 6, 2016

14. MENDIDIK ANAK

Tunjukkanlah teladan yang baik kepada anak-anak anda kerana mereka sentiasa memerhati dan mudah untuk meniru apa yang anda lakukan. Menasihatkan anak anda supaya jangan ikut perbuatan ayah tapi ikutlah cakap ayah merupakan nasihat yang salah dalam mendidik anak-anak anda. Anak-anak anda adalah permata yang tidak terhingga nilainya meski pun mereka itu berkebolehan atau tidak. Anda akan merasakan kenikmatan yang tiada tandingnya jika pada awalnya anak anda memiliki kelemahan dari sudut sikap atau pelajaran tetapi hasil usaha anda yang bersungguh-sungguh dan contoh teladan yang baik akhirnya anak anda menjadi orang yang berjaya dalam hidupnya. Antara beberapa contoh yang boleh anda lakukan supaya dapat diteladani oleh anak-anak anda ialah:

Pertama, semasa bersama atau di depan anak-anak keluarkanlah kata-kata yang baik dan jangan sekali mengeluarkan kata-kata yang kotor, kesat, keji, jijik, kurang sopan dan lucah.

Kedua, jangan menghisap rokok di depan mereka.

Ketiga, bawa anak-anak bersolat jemaah di surau atau masjid termasuk solat Jumaat.

Keempat, sentiasa membaca buku ketika bersama anak-anak.

Kelima, tidak mengumpat dan memburukkan orang lain ketika bersembang dengan anak-anak.

Keenam, luangkan masa bersama mereka seperti bermain boling, melancong, rekreasi, mendaki gunung, berkelah dan lain-lain terutamanya pada hari minggu, cuti umum atau cuti sekolah.

Ketujuh, bangun pada awal pagi terutamanya ketika hari tidak bekerja dan elakkan bangun lambat kerana ia akan memberi peluang kepada anak anda untuk turut sama bangun lewat.

Kelapan, tegurlah anak anda yang lemah atau silap itu dengan penuh kasih sayang. Elakkan daripada dendam dan benci pada anak-anak anda.

Demikianlah beberapa teladan atau perbuatan yang boleh anda jadikan panduan dalam mendidik anak-anak bagi memastikan wujudnya hubungan yang baik dan harmoni dalam keluarga anda.

No comments:

Post a Comment